Sunday, November 13, 2011

7:20 AM - No comments

Peranan Remaja untuk Memupuk Semangat Perpaduan


Karangan contoh.
Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum.  Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulan manusia kerana muafakat.  Remaja, sebagai pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah memikul tanggungjawab besar ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

           Peranan pertama yang perlu dipegang oleh remaja ialah mereka sendiri menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya.  Dalam hubungan ini setiap remaja mestilah mengamalkan dan menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya.  Remaja mesti menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang budaya dan agama.  Contohnya, remaja perlu menghormati amalan dan anutan agama rakan-rakan. Di samping itu remaja perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang sensitif dan dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan dari bangsa dan agama yang lain.  Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah, bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.  Oleh yang demikian, remaja perlu menjadi suri teladan untuk memupuk semangat perpaduan.

           Selain itu, remaja juga hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah negara.  Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan.  Sebagai contoh. tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.  Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama.  Oleh itu remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius.  Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.  Jadi, remaja mestilah mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan yang jitu.

           Peranan yang berikutnya ialah remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.  Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.  Contohnya, kaum Melayu, Cina, dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini.  Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Penan, dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam, dan seumpananya.  Remaja mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.  Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang tersendiri. Untuk merasai kemeriahannya, remaja mestilah turut merayakan perayaan-perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini.

          Selanjutnya, remaja hendaklah mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme.  Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri.  Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi di negara ini.  Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif.  Remaja perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.  Contohnya, remaja tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.  Jika semangat ini dapat diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.

        Kesimpulannya, remaja bertanggungjawab untuk memainkan peranan penting ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.  Semua pihak hendaklah bersinergi umpama aur dengan tebing untuk merealisasikan wawasan dan gagasan besar negara.  Kita tidak mahu generasi mudah hari ini mengabaikan peranan mereka  untuk memupuk perpaduan dan menghancurkan negara yang bakal diwarisi kelak.  Iltizam dan kesungguhan remaja dalam memupuk semangat perpaduan adalah dituntut demi mewujudkan semua negara yang bersatu padu, aman, maju, dan berdaya saing di peringkat global.  Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

7:19 AM - No comments

Sektor Pelancongan


Sektor pelancongan merupakan sumber pendapatan yang kedua pentingnya di negara kita.  Bincangkan langkah-langkah yang wajar diambil untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini.  Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 350 patah perkataan.

Cadangan jawaban
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting.  Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan.  Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas.  Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini.  Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

            Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak  kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara.  Banyak produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit.  Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan.  Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya.  Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara.  Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka.  Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa  untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

              Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia.  Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan.  Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan.  Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa.  Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia.   Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika.  Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap.   Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini.  Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik  Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan.  Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air.  Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.


             Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan.  Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya.  Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong.  Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini.  Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

              Kesimpulannya,  terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.  Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.  Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara.  Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

7:18 AM - No comments

Selangkah ke Perpustakaan Sejuta Pengetahuan


Karangan Selangkah ke Perpustakaan Sejuta Pengetahuan : Bincangkan.
Pendahuluan
Perpustakaan ialah tempat rujukan.  Murid sekolah mestilah memanfaatkan perpustakaan.
Perpustakaan ditubuhkan di sekolah, daerah, negeri, institusi pendidikan tinggi, dan sebagainya.
Terdapat pelbagai kebaikan jika murid/remaja mengunjungi perpustakaan.
Peribahasa/kata-kata indah : membaca jambatan ilmu.

Isi 1
Murid dapat membaca pelbagai jenis bahan bacaan.  Perpustakaan menyediakan pelbagai bahan rujukan spt.  buku teks, buku ulasan, buku ulang kaji, kertas model, surat khabar, jurnal, majalah, dll.
Bahan-bahan ini dapat meningkatkan pengetahuan murid/remaja. Khususnya murid yang akan menduduki peperiksaan utama spt PMR, SPM, STPM.
Bahan disediakan secara percuma dan boleh dipinjam oleh murid.
Peribahasa :  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Isi 2
Murid/remaja dapat belajar dalam keadaan tenang di perpustakaan.
Suasana di dalam perpustakaan sangat selesa (kondusif), tenang, tidak bising.
Perpustakaan dilengkapi dengan pendingin hawa/penyaman udara.
Perpustakaan menetapkan peraturan supaya pengunjung tidak membuat bising. Membantu murid/remaja belajar secara berkesan.
Peribahasa :  sambil menyelam minum air.

Isi 3.
Murid/remaja dapat menggunakan masa secara bermanfaat.
Dapat mengelakkan murid/remaja terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah spt melepak, terlibat dengan gejala sosial, dadah, berpeleseran, dll.
Ibu bapa tidak berasa bimbang akan keselamatan anak-anak remaja mereka terutama pada masa cuti atau hujung minggu.
Peribahasa :  Masa itu emas.

Isi 4.
Murid/remaja dapat memupuk semangat perpaduan dengan lebih berkesan.
Perpustakaan dapat dijadikan tempat interaksi remaja daripada pelbagai kaum.
Mewujudkan kumpulan perbincangan kecil untuk belajar bersama-sama.
Memberi peluang kepada murid/remaja mengenali budaya, agama, bangsa-bangsa yang berbeza-beza.
Peribahasa :  Tak kenal maka tak cinta.

Isi 5.
Memberikan peluang murid/remaja mengakses ilmu melalui pelbagai kemudahan elektronik.
Perpustakaan menyediakan kemudahan internet.  Murid dapat mengakses bahan-bahan pembelajaran seperti nota, soalan-soalan latihan, soalan ramalan, dan sebagainya.
Contoh laman sesawang bercorak akademik ialah tutor.com.my,  skorA.com.my, laman-laman sesawang guru cemerlang, dan sebagainya.
Peribahasa : kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.

Kesimpulan
Banyak kebaikan perpustakaan yang perlu dimanfaatkan oleh masyarakat, khususnya remaja.
Semua pihak hendaklah mengambil peluang untuk memantapkan pengetahuan dengan mengunjungi perpustakaan.
Remaja yang tidak mengunjungi perpustakaan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Remaja yang berpengetahuan dapat bersaing dengan semangat 1 Malaysia.

Friday, October 21, 2011

10:45 AM - No comments

RAMALAN TAJUK KARANGAN BAHASA MELAYU SPM 2011



1.KEBAIKAN RIADAH DAN REKREASI

2.USAHA-USAHA UNTUK MENGALAKKAN PEMBELIAN BARANGAN BUATAN MALAYSIA

3.KESAN PEMBUANGAN SAMPAH TERHADAP ALAM SEKITAR

4.KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM

5.CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG.

6.KEPENTINGAN PERMAINAN TRADISIONAL DAN USAHA-USAHA UNTUK MENGELAKANNYA

7.USAHA-USAHA MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN.

8.USAHA-USAHA UNTUK MENGGLAKAN AMALAN GOTONG ROYONG

9.PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK MENGEKALKAN PERPADUAN KAUM.

10.FAEDAH MENABUNG DALAM KEHIDUPAN KITA.

11.MASALAH KEMASUKKAN PENDATANG ASING,PUNCA,KESAN DAN LANGKAH UNTUK MENGATASINYA.

12.PUNCA DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANI KEMALANGAN JALAN RAYA.

SOALAN RAMALAN BESERTA JAWAPAN SPM 2011 ( KARANGAN BAHASA MELAYU )
 RAMALAN SOALAN SPM 2011 ( KARANGAN BAHASA MELAYU )


Karangan SPM 2011

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.


Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.
Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama
menjadi bukit.

KEMBARA AMIRA BAB 5

Ringkasan cerita bab 5
Pada mulanya Amira berseorangan di kawasan Air Terjun Angin, di kaki Bukit Mat Raya dengan harapan bertemu sekali lagi dengan Malique. Setelah dua jam, Jacinta muncul dengan usikan nakalnya, tetapi Amira kurang senang lalu cuba meninggalkan rakan baiknya itu. Tiba-tiba Amira gagal mengimbangi tubuhnya, terus tergolek dalam arus sungai yang deras. Percubaan Amira untuk berpaut pada batu licin dan ranting semuanya gagal, dan jaket yang disarungnya menyerap air hingga dirinya lebih berat. Pandangannya gelap dan jeritan Jacinta lenyap. Apabila tersedar, Amira mendapati dua lelaki berseluar pendek tanpa baju (Itai dan Tau) berdiri di hadapannya. Merekalah yang menarik Amira ke tebing. Amira berasa pernah bersua dengan Itai, tetapi Tau mencurigakannya. Tau nyata tidak senang apabila mengetahui Amira ialah anggota kumpulan kajian arkeologi di situ. Itai dan Tau kemudian menyediakan hidangan ikan segar dari sungai. Setelah Tau menghilangkan diri, Amira cuba mencungkil rahsia keanehan Tau, tetapi Itai mempertahankan bapa saudaranya itu dengan alasan melihat jerat yang ditahan. Itai nampak berminat dengan kajian arkeologi apabila dipelawa oleh Amira.

Analisis Peristiwa Penting

1  Amira kagum dengan keindahan sekitar kawasan Air Terjuan Angin, di kaki Bukit Mat Raya. Spesies orkid terbesar dunia, tiger orchid menarik perhatian Amira. Namun, Amira kesal dengan kesan pembalakan yang mengeruhkan sebahagian air di situ.

Watak:  Amira

Perwatakan:  Penyayang / Peka / Prihatin

Latar masyarakat:  masyarakat yang cinta / sayang / peka / prihatin akan alam sekitar

Nilai:  Mencintai / menyayangi alam sekitar

Persoalan:  Kecintaan / kepekaan / keprihatinan terhadap alam sekitar

Pengajaran:  Kita hendaklah cinta / sayang / peka / prihatin akan alam sekitar

2   Setelah dua jam Amira berharap dapat bertemu Malique buat kali kedua, Jacinta muncul dengan usikan nakalnya. Walaupun tidak begitu dialu-alukan, Jacinta berkeras mahu menemani Amira.

Watak:  Jacinta

Perwatakan:  Setia kawan

Latar masyarakat:  Masyarakat yang setia kawan / masyarakat murid sekolah swasta / masyarakat remaja

Nilai:  Kesetiakawanan

Persoalan:  Kesetiakawanan dalam persahabatan

Pengajaran:  Kita hendaklah bersemangat setia kawan dalam persahabatan

3 Amira yang kurang senang dengan usiakan Jacinta melepaskan tangan Jacinta ketika bersama-sama melangkah ketul-ketul batu tengah arus sungai. Namun, akhirnya Amira yang terjatuh ke dalam arus sungai tanpa dapat dibantu oleh Jacinta yang sudah jauh ditinggalkan.

Watak:  Amira

Perwatakan:  Mudah berasa hati / perasa / sensitif

Latar masyarakat:  Masyarakat yang mudah berasa hatin / perasa / sensitif

Nilai:  Kesabaran / ketenangan / berhati-hati

Persoalan:  Kesabaran / ketenangan dalam berhadapan dengan usikan / provokasi / gurauan

Pengajajaran:  Kita janganlah mudah berasa hati dengan usikan kawan

4  Amira tetap berwaspada terhadap dua orang lelaki yang mendakwa bahawa mereka menyelamatkan dirinya daripada lemas. Amira bersedia dengan pisau kembaranya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Amira juga cuba menggambarkan bahawa dirinya tidak keseorangan.

Watak:  Amira

Perwatakan:  berawas / berhati-hati / berwaspada

Latar masyarakat:  masyarakat yang berawas / berhati-hati / berwasda

Nilai:  Kewaspadaan

Persoalan:  Kewaspadaan / berhati-hati terhadap orang yang baharu dikenali

Pengajaran:  Kita hendaklah berawas / berhati-hati / waspada akan orang yang baharu dikenali

5   Itai menangkap ikan dengan tangan kosong, manakala Tau menghidupkan api untuk membakar ikan sebagai hidangan untuk Amira. Perbualan antara Itai dan Tau dengan Amira juga makin rancak.

Watak:  Itai / Tau

Perwatakan:  suka menolong / cekap / berahsia

Latar masyarakat:  masyarakat yang suka menolong / cekap / berahsia / masyarakat orang Asli

Persoalan:  Pertolongan yang ikhlas / kecekapan dalam kerja

Pengajaran:  Kita mestilah ikhlas menolong orang / kita mestilah cekap dalam kerja

6  Walaupun Amira mendesak, Itai masih mempertakan sikap aneh bapa saudaranya, Tau. Alasan menjenguk jerat digunakan sebagai langkah sementara ke arah itu.

Watak:  Itai

Perwatakan:  amanah / menjaga rahsia

Latar masyarakat:  masyarakat yang amanah / pandai menjaga rahsia keluarga / masyarakat orang Asli

Nilai:  Kerahsiaan / menjaga amanah

Persoalan:  Kerahsiaan tentang maklumat keluarga

Pengajaran:  Kita hendaklah merahsiakan maklumat keluarga daripada orang lain