Monday, January 14, 2013

Dirgahayu Bahasaku


Dirgahayu Bahasaku
(Ahmad Sarju)

Maksud:

Rangkap 1
Bahasa Melayu tetap bersemadi di sanubari orang-orang Melayu. Bangsa Melayu
sememangnya terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa, setia dan amanah.
Rangkap 2
Bahasa dilihat sebagai simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan agar terus
kukuh dan menjadi keutamaan dalam banyak hal. Bahasa hendaklah digunakan dengan
sebaik mungkin terutama dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim.
Rangkap 3
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang demi mendaulatkan bahasa.
Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja
mereka berada.
Rangkap 4
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah sebagai pelayar hebat.
Mereka begitu berani menjelajah dari sebuah pulau ke sebuah pulau dan dari sebuah
benua ke benua yang lain. Dari situ bahasa Melayu mula tersebar.
Rangkap 5
Bahasa Melayu tetap di hati. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh
masyarakat antarabangsa. Bangsa Melayu turut dikenali. Kini bangsa Melayu menempa
kejayaan demi kejayaan.

Tema:

Semangat cinta akan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya
mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh
semua pihak.

Persoalan:

1. Persoalan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu.Bahasa Melayu perlu
dimartabatkan di negara ini.
2. Persoalan perjuangan memartabatkan bahasa. Perjuangan memartabatkan
bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.
3. Persoalan sejarah kegemilangan Bahasa Melayu.Bahasa Melayu mempunyai
sejarah kegemilangannya yang tersendiri.
4. Persoalan kepentingan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Bahasa Melayu
berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.

Bentuk:

1. Bebas
2. Terdapat  5 rangkap
3. Rima akhir baris-baris ayat
 Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd.
 Rangkap 2 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnyanya aabab
 Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abbcc
 Rangkap 4 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya aaabb
 Rangkap 5 terdapat 7 baris ayat. Rima akhirnya abaccaa


Nada:

Patriotik

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya :setia dan amanah
2. Diksi – mudah difahami dan puitis
Contohnya; warga yang berbudi
3. Aliterasi – perulangan konsonan’m’
                Contohnya : hak bangsaku memilikimu
4. Asonansi – perulangan vokal ’a’
                      Contohnya : Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
5. Sinkope .
Contohnya: mu, ku, tak
6. Metafora
        Contohnya : lautan bijaksana, mutiara silam, lagu bahasamu
7. Perlambangan
                      Contohnya ; pejuangku, pelautku, pulau
8. Personifikasi
          Contohnya : bahasaku mencengkam, suaramu tumbuh.
9. anafora
           Contohnya ; hak bangsaku memilikimu
                               hak bangsaku mendaulatkanmu
10. Epifora
           Contohnya ; hak bangsaku memilikimu
                               hak bangsaku mendaulatkanmu

Nilai:

1. Nilai bersopan santun. Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi
bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.
2. Nilai setia pada bangsa. Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat
ditunjukkan.
3. Nilai amanah dalam meneruskan warisan bangsa.Warisan bangsa perlu
dipertahankan.
4. Nilai mencintai bahasa bangsa sendiri. Sesuatu bangsa bertanggungjawab
mencintai bahasanya sendiri.
5. Nilai bersatu padu semasa menggunakan bahasa yang sama Penggunaan
bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatupadu..
6. Nilai kegigihan dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan.Sifat ini
penting agar penggunaan bahasa Melayu dapat diteruskan.

Pengajaran:

1. Kita hendaklah mencintai bahasa Melayu hendaklah  sepenuh jiwa.
2. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahan dan memartabatkan bahasa
Melayu .
3. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
4. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya  berkembang dan
mendapat perhatian masyarakat dunia.

Latihan:

1. Apakah gaya bahasa bagi rangkai kata di bawah?
          “lautan bijaksana”
Jawapan: metáfora
2. Apakah maksud bait puisi di bawah?
           “merentas dunia tak bertepi”
Jawapan: dunia yang tiada penghujungnya

Di Bawah Langit Yang Sama


Di Bawah Langit Yang Sama
(Lim Swee Tin)

Maksud:

Rangkap 1
Penyajak menggambarkan bahawa walau di manapun kita berada, kita menghirup udara yang
sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.
Rangkap 2
Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di
Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa.  Tempat-tempat lain yang
mempunyai keisimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.
Rangkap 3
Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim
dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat  keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin
melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.
Rangkap 4
Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki
negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di
dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan
dendam .

Tema:

Kesamatarafan manusia walau di mana-mana mereka berada. Walaupun manusia itu berada
dan dipisahkan oleh sempadan, mereka setaraf dan mengimpikan kehidupan yang aman dan
harmoni.


Persoalan:

1. Persoalan keindahan alam semula jadi di sesuatu tempat. Setiap tempat mempunyai
keindahan alam semulajadi yang tersendiri.
2. Persoalan harapan dan impian  manusia sejagat untuk kehidupan yang aman dan
harmoni.Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk kehidupan yang aman dan
harmoni.
3. Persoalan garis  sempadan seringkali memisah dan membezakan manusia.Manusia
dipisahkan oleh faktor geografi.
4. Persoalan kepentingan nilai hormat dan menghormati antara manusia. Nilai ini penting
dalam kehidupan.

Bentuk:

1. Bebas
2. Terdapat  4 rangkap dalam sajak ini.
3. Rima akhir baris-baris ayat
 Rangkap 1 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya aabbaa.
 Rangkap 2 terdapat 7 baris ayat. Rimanya aabbbca
 Rangkap 3 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya abcabbbb
 Rangkap 4 terdapat 9 baris ayat. Rima akhirnya aabbbcdeb

Nada:

Sinis

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek
         Contohnya : Di bawah langitnya
2. Diksi – mudah difahami dan puitis
Contohnya: Aku suka gerimis di Kota London.
3. Kata pinjaman bahasa Inggeris
Contohnya :i visa, pasport,
4. Aliterasi – perulangan konsonan’n’
               Contohnya : : pohon-pohon hijau atau aneka warna
5. Asonansi – perulangan vokal ’i’
                     Contohnya : berkongsi siang miliki malam
6. Sinkope
   Contohnya : mu, ku
7. Perulangan
. Contohnya Di bawah langit ini.
8. kata ganda
. Contohnya : pohon-pohon, peta-peta

Nilai:

1. Nilai menghargai keindahan alam. Keindahan alam perlu dihargai.
2. Nilai hormat- menghormati sesama manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan seharian.
3. Nilai bertoleransi antara masyarakat. Toleransi penting dalam kehidupan bermasyarakat.
4. Nilai  bekerjasama dalam menjayakan sesuatu.Kerjasama penting untuk menjayakan
sesuatu.

Pengajaran:

1. Kita mestilah menganggap manusia sebenarnya sama taraf walau di manapun mereka
berada.
2. Kita mestilah menganggap setiap tempat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
3. Kita hendaklah  sedar bahawa manusia seringkali dipisah dan dibezakan oleh sempadan
waktu dan tempat
4. Kita mestilah mewujudkan hubungan harmoni sesama negara dan rakyatnya.
5. Kita hendaklah  mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan harmoni.

Latihan:

1. Rima akhir  ialah bunyi di hujung setiap baris. Apakah rima akhir bagi rangkap di bawah?
         Peta-peta itu yang memisahkan
         Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
         Jawapan: rima aabb
2. Tuliskan latar tempat luar negara yang ditulis dalam sajak ini.
            Jawapan: latar tempat – Beirut, London, Washington, Australia, Afrika                                      

Bangkitlah


Bangkitlah
(Rejab F.I)

Tema:

Rangkap 1
Penyajak menyeru anak bangsanya agar sedar  daripada terlena dibuai kelalaian. Negara
sudah lama merdeka dan semakin maju.
Rangkap 2
Negara kita semakin makmur dan bangsa-bangsa asing sibuk merebut kekayaan tanah air.
Penyajak tertanya-tanya mengapa anak bangsanya masih leka.
Rangkap 3
Penyajak menyeru anak bangsanya supaya bangkit dari lena agar mereka tidak menyesal.
Kekayaan hasil bumi negara semakin berkurangan dek pembangunan.
Rangkap 4
Penyajak berasa risau  akan masa depan bangsanya yang mungkis terus ketinggalan dan
hidup dalam kesusahan. Beliau tidak mahu bangsanya berputih mata.
Rangkap 5
Jikalau bangsanya tidak mahu perkara itu berlaku, mereka perlu bangkit dan berusaha. Masih
ada waktu dan kesempatan mereka untuk maju dan mengejar arus pembangunan.

Tema:

Kesedaran anak bangsa perlu untuk bangkit daripada leka dalam mengejar arus pembangunan
selepas kemerdekaan. Mereka harus merebut kemakmuran negara agar tidak menyesal.


Persoalan:

1. Persoalan kepentingan mengejar arus pembangunan.Arus pembangunan perlu disedari
dan diikuti oleh anak-anak.
2. Persoalan kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapa yang
leka.Kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapapun.
3. Persoalan sumber bumi dan khazanah negara semakin berkurangan.Hal  ini perlu disedari
oleh semua orang.
4. Persoalan masa depan anak bangsa yang masih leka. Kelekaan anak bangsa
merunsingkan penyajak tentang masa depan mereka.

Bentuk:

1. Bebas
2. Terdapat  5 rangkap
3. Rima akhir baris-baris ayat
 Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd.
 Rangkap 2 terdapat 4 baris ayat. Rimanya abbbc
 Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abccd
 Rangkap 4 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abcde
 Rangkap 5 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd

Nada:

Patriotik

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya : bangkitlah
2. Diksi – mudah difahami dan puitis
Contohnya : Anak-anak yang sedang lena
3. Aliterasi – perulangan konsonan’n’
               Contohnya : burung-burung berterbangan di udara
4. Asonansi – perulangan vokal ’a’
                     Contohnya: : Anak-anak yang sedang lena
5. Sinkope
Contohnya; kau
6. Perlambangan
                     Contohnya ; anak-anak, matahari, puncak gunung, madu  bumi, perut belantara
7. Personifikasi
         Contohnya : burung-burung belum menjamah awan.


Nilai:

1. Nilai kegigihan.. Kegigihan diperlukan untuk mengejar kekayaan..
2. Nilai  kerjasama ..Semangat ini diperlukan untuk merebut peluang yang ada.
3. Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk memajukan diri.

Pengajaran:

1. Kita tidak boleh leka walaupun telah merdeka.
2. Kita perlulah merebut peluang yang ada.
3. Kita perlulah  bersaing dengan bangsa lain untuk maju.
4. Kita janganlah  leka kerana kelekaan menyebabkan kita menderita dan terus dihimpit
kemiskinan.

Latihan:

1. Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dengan perkataan bangkitlah?
         Jawapan: sedarlah/ insaflah
2. Apakah unsur gaya bahasa kaumakan?
         Jawapan: sinkope

Arkitek Kota


Arkitek Kota
(SN Muhammad Hj Salleh)

Maksud:

Rangkap 1
Kawasan kota sepatutnya dibangunkan oleh golongan yang benar-benar bertanggungjawab.
Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok belok dan
keadaan serta keperluan semasa kota yang hendak dibangunkan.
Rangkap 2
Hal ini demikian kerana, mereka merupakan penghuni yang mendiaminya. Banyak kajian
dibuat dan mengambil kira  pandangan dan kepentingan pelbagai pihak yang menghuni kota
tersebut.
Rangkap 3
Perancang kota juga seharusnya seorang yang mencintai alam sekitar. Kehidupan flora dan
fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semula jadi perlu dipertahankan  malah perlu
diperindah dengan landskap yang mempesona.
Rangkap 4
Orang yang membina kota merupakan generasi muda yang bukan sahaja luas ilmu
pengetahuannya malah sarat dengan idea-idea yang bernas.

Tema:

Keperluan pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan pembangunan di kota.

Persoalan:

1. Persoalan keprihatinan penting dalam memahami sesuatu keadaan.Nilai ini penting
supaya sesuatu keadaan dapat difahami.
2. Persoalan pembangunan kota perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Pembangunan
kota perlu dilihat menerusi pelbagai sudut.
3. Persoalan kepentingan menjaga alam sekitar.Alam sekitar perlu dijaga.
4. Persoalan generasi muda memiliki pelbagai idea bernas.Golongan ini mempunyai ideaidea baru yang bernas.

Bentuk:

1.Bentuk bebas
2.Jumlah rangkap - 4 rangkap
- Rangkap 1 - 7 baris ayat
- Rangkap 2 - 6 baris ayat
- Rangkap 3 - 5 baris ayat
- Rangkap 4 - 2 baris ayat
3. Rima akhir setiap rangkap
- Rangkap 1 – abacdea
- Rangkap 2 – aabcdd
- Rangkap 3 – abcad
- Rangkap 4 – ab


Nada:

Sinis

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek
   Contohnya : perasaan musim
2. Diksi – mudah difahami
   Contohnya : pemerhati tasik
3. Aliterasi – perulangan konsonan’p’
               Contohnya  : perenung di perpustakaan
4. Asonansi – perulangan vokal ’i’
                     Contohnya : fiil langit dan sabar bumi
5. Kata ganda
   Contohnya  : berbagai-bagai
6. Metafora
               Contohnya : jiwa laut,diam batu, perasaan musim
7. Perlambangan
        Contohnya ; pengadil, pemancing, pengawas, pendekar


Nilai:

1. Nilai cintakan  alam sekitar. Alam sekitar perlu disayangi.
2. Nilai bertoleransi. Nilai ini penting dalam menjalani kehidupan seharian.terutama di
kota.
3. Nilai bertanggungjawab Bertanggungjawab menjaga keindahan alam sekitar. .
4. Nilai bijaksana dalam membuat keputusan Kebijaksanaan penting apabila membuat
keputusan.
5. Nilai rasional dalam semua aspek.Kerasionalan penting dalam semua aspek.

Pengajaran:

1. Kita hendaklah mempunyai pengetahuan  dan pengalaman yang luas semasa
merancang pembangunan.
2. Kita  hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat ketika membangunkan negara..
3. Kita perlulah membuat pertimbangan yang bijaksana  sebelum membuat  keputusan.
4. Kita hendaklah  memikirkan bencana alam yang mungkin timbul akibat pembangunan
kota..
5. Kita hendaklah menjadi perancang yang baik yang  mempunyai pelbagai idea bernas
dan alternatif.

Latihan:
1. Nyatakan bilangan kata dan barisan yang terpanjang dalam rangkap sajak ini.
     

Jawapan:
         bilangan kata terpanjang ialah  7–
         Contohnya ;. kerana arkitek matang  itu anak di taman/ Orang muda pulang
bertandang di lorong malam


2. Apakah jenis gaya bahasa bagi rangkai kata berikut?
         Sabar bumi, fill langit, bangku bijaksana
   

  Jawapan:
         metafora

Pantun Lapan Kerat


Puisi Tradisional
(Pantun Lapan Kerat)

Maksud:


Rangkap 1
Bersifat sabar ialah tanda orang yang beriman. Orang yang beriman tidak akan terpedaya
dengan bisikan iblis dan itu sebagai tanda kejayaan.
Rangkap 2
Keturunan manusia berasal daripada Nabi Adam. Dipilih menjadi menjadi khalifah/ pemimpin di
muka bumi Allah.
Rangkap 3
Kelalaian manusia menyebabkan bumi rosak binasa. Kebudayaan Timur telah dicemari oleh
budaya Barat malah bahasa ibunda juga turut diabaikan.

Tema:

Keagamaan

Persoalan:

1.  Persoalan kunci kejayaan ialah bersabar. (rangkap 1)
2. Persoalan keistimewaan sebagai seorang manusia. (rangkap 2)
3. Persoalan pencemaran budaya dan bahasa . (rangkap 3)

Bentuk:

1. Mempunyai  3 rangkap.
2. Mempunyai 8 baris dalam setiap rangkap.
3. Jumlah perkataan antara 3 hingga 5 patah perkataan.
Contoh : ikan teluk parang-parang ( 3 perkataan – rangkap 2)
Contoh : biarlah sabar dengan perlahan ( 4 perkataan – rangkap 1)
Contoh : Di  tepi halaman menanam kubis ( 5 perkataan – rangkap 1)
4. Terdiri daripada 8 hingga 13 suku kata.
5. Rima akhir abcdabcd
6. Bentuk pantun terikat.

Gaya Bahasa
Bentuk1. Unsur bunyi
Asonansi -  kerana lalai rosak binasa (rangkap 3 baris 6)
Aliterasi – bumi kandungan nenek moyangku (rangkap 3 baris 5)
2. Sinkof
Bumi kandungan nenek moyangku (rangkap 3 baris 5)
3. Kata ganda
Anak ketam disangka lelabi (rangkap 2 baris 2)
Dapat buruan dibelah-belah (rangkap 2 baris 4)
Bukan makhluk sebarang-barang (rangkap 2 baris 5)
Lengkang-lengkung apa dipaku (rangkap 3 baris 1)
4. Unsur alam
Tumbuhan – kubis, papaya
Haiwan – ikan , ketam, lelabi
Alam – hutan, langit, bumi

Nilai:

1. Nilai kesabaran. Kesabaran amat penting untuk menepis segala hasutan iblis.
2. Nilai kesyukuran.Bersyukurlah kita  dengan segala anugerah Allah kepada kita.
3. Nilai keimanan. Keimanan penting dalam mengharungi kehidupan.
1. Kita hendaklah sabar dalam menjalani kehidupan agar kita beroleh kejayaan.
2. Kita hendaklah bersyukur apabila dipilih sebagai pemimpin.
3. Kita janganlah merosakkan budaya dan bahasa Melayu.
                     
LATIHAN.

1. Berikan maksud rangkap Pantun Lapan Kerat dibawah.
Biarlah sabar dengan perlahan,
Itulah tanda tuan beriman
Tidak patah digoncang iblis
Akhirnya menang berjaya.
2. Nyatakan unsur-unsur alam yang terdapat dalam  Pantun Lapan Kerat


JAWAPAN
1. Bersifat sabar ialah tanda orang yang beriman. Orang yang beriman tidak akan
terpedaya dengan bisikan iblis dan itu sebagai tanda kejayaan.
2. Unsur alam
Tumbuhan – kubis, papaya
Haiwan – ikan , ketam, lelabi
Alam – hutan, langit, bumi


Pantun Enam Kerat


Puisi Tradisional
(Pantun Enam Kerat)


Maksud:

Rangkap 1
Kelukaan di hati disembunyikan daripada pengetahuan orang lain walaupun pedihnya amat
mendalam.
Rangkap 2
Sesuatu yang berlaku kepada kita harus diterima dengan perasaan yang reda kerana itu semua
sudah suratan takdir bukannya salah ibu yang melahirkan kita.
Rangkap 3
Sudah menjadi kelaziman  manusia sering melebihkan orang   yang baru sehingga orang lama
terasa disisihkan dan tidak diperlukan lagi.

Tema:

Kekecewaan dalam hidup.

Persoalan: 

1. Persoalan menyembunyikan hati yang terluka (rangkap 1)
2. Persoalan menerima suratan takdir (rangkap 2)
3. Persoalan mengutamakan yang baru berbanding yang lama. (rangkap 3)

Bentuk:

1. Mempunyai  3 rangkap
2. Mempunyai 6 baris bagi setiap rangkap
3. Jumlah perkataan antara 4 hingga 5 perkataan sebaris
        Contoh : Putik kelapa menjadi muda ( 4 perkataan – rangkap 1)
Contoh : Sudah mendapat orang yang baru (5 perkataan – rangkap 3)
4. Terdiri daripada 8 hingga 12 suku kata.
5. Rima abcabc
6. Bentuk pantun terikat.


Gaya Bahasa:

Bentuk1. Unsur bunyi
Asonansi – hati luka pura tiada ( rangkap 1 baris 4) – pengulangan vokal ‘a’
Aliterasi – kail tersangkut di tepi batang ( rangkap 3 baris 3) – pengulangan konsonan ‘t’
2. Peribahasa
Ibarat kaca jatuh ke lantai ( rangkap 1 baris 6)
Ibarat melukut di tepi gantang (rangkap 3 baris 6)
3. Sinkope
Rasa pedih buat  tak tahu (rangkap 1 baris 5)
4. Repitisi
Sudah takdir sudah suratan (rangkap 2 baris 5)
5. Unsur alam
Haiwan –  ikan cencaru, ikan gelama
Tumbuhan – kelapa, kedondong, buluh,

Nilai:

1. Nilai keredaaan.Contohnya reda dengan suratan takdir.
2. Nilai  ketabahan. Contohnya sentiasa tabah dengan kesedihan yang menimpa diri.
1. Kita janganlah terlalu menunjukkan rasa kecewa.
2. Kita janganlah sesekali menyalahkan takdir.
3. Kita janganlah melupakan orang yang pernah berjasa kepada kita.

Latihan:


1. Nyatakan maksud rangkap pertama pantun tersebut.
2. Berikan maksud ibarat melukut di tepi gantang.

Jawapan

1. Kelukaan di hati disembunyikan daripada pengetahuan orang lain walaupun pedihnya
amat mendalam.
2. Maksud ibarat melukut di tepi gantang ialah orang yang kurang penting.


Syair Makna Riak


Puisi Tradisional
(Syair Makna Riak)


Maksud:

Rangkap 1:
Riak merupakan satu perbuatan atau sifat baik untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik.
Rangkap 2:
Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.
Rangkap 3:
Dia melakukan perkara itu agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli hal dunia. Perbuatannya nampak baik tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura.
Rangkap 4:
Kadang-kadang riaknya dilakukan dengan meninggi-ninggikan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan memberi ceramah. Namun perkara yang betul dan salah semua dicampur aduk.
Rangkap 5:
Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea/fikirannya logik. Seolah-olah telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu.
Rangkap 6:
Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta di tangannnya memegang tasbih.
Rangkap 7:
Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah dialah ketua.
Rangkap 8:
Riak boleh mendatangkan bala. Amalan kita akan ditolak dan Allah tidak suka dengan sifat riak.


Tema:


Syair ini mengemukakan tema tentang sifat-sifat manusia yang riak.


Persoalan: 

1. Persoalan sifat riak merupakan sifat yang dibenci oleh tuhan.
2. Persoalan terdapat golongan manusia yang suka menunjuk-nunjuk tentang kelebihan diri.
3. Persoalan ilmu yang dimiliki digunakan untuk kepentingan diri
4. Persoalan kehidupan orang yang riak pasti tidak mendapat keberkatan – amalan tidak diterima oleh Allah.


Bentuk:


1. Rima akhir aaaa.
2. Syair ini mengandungi lapan rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara empat hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara 7 hingga 14 suku kata setiap baris.


Gaya Bahasa:


1. Diksi (Bahasa Arab)
Contoh : syirik, jazbah, Allah, zikir dan sebagainya.
2. Simile
Contoh: Terkadang jazbah seperti gila.
3. Asonansi
Contoh: supaya disangkanya ianya wali (pengulangan vokal ’a’)
4. Aliterasi –
Contoh: Tetapi hatinya ke dunia bertali (pengulangan konsonan ‘t)
5. Inversi
Contoh – akan dunia tidak peduli.


Nilai:


1. Nilai kesyukuran
Contoh: bersyukur dengan ilmu yang dimiliki.
2. Nilai kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk.


Pengajaran:


1. Kita janganlah bersifat riak.
2. Kita janganlah suka menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada diri kita.
3. Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
4. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
5. Kita janganlah melakukan perkara yang membawa kepada syirik.



LATIHAN:


1. Berikan maksud rangkap kedua Syair Makna Riak.
2. Kemukakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam Syair Makna Riak
Jawapan :
1. Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.
2. I) Diksi (Bahasa Arab)
Contoh : syirik, jazbah, Allah, zikir dan sebagainya.
ii) Simile
Contoh: Terkadang jazbah seperti gila