RUMUSAN
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat
rumusan tentang kebaikan industri pelancongan kepada masyarakat desa dan
peranan kerajaan untuk memajukan industri ini. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Pelancongan ialah satu industri yang menguntungkan terutama bagi negara-negara
yang kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan silam, adat resam serta keindahan
alam. Di Malaysia, kesemua ciri ini ada dalam kehidupan masyarakat desa. Hal
ini demikian kerana majoritinya masih mengamalkan dan mempertahankan adat resam
nenek moyang yang terdahulu. Di samping itu, cara hidup mereka juga masih lagi
dipengaruhi oleh nilai-nilai positif seperti menghormati tetamu, bekerjasama
selain mengamalkan cara hidup yang sederhana tanpa mementingkan diri sendiri.
Para pelancong yang ingin mengetahui suasana perkampungan yang sebenar dan
ingin mengetahui cara memproses getah dan padi tidak ketinggalan menyertai
program pelancongan industri desa (homestay). Program ini secara tidak langsung
akan meningkatkan taraf sosial ekonomi penduduk desa.
Selain daripada menghayati kehidupan di desa , para pelancong sudah tentu ingin
menikmati keindahan alam semula jadi negara yang sememangnya kaya dengan flora
dan fauna. Oleh yang demikian, pekerjaan sebagai pemandu pelancong dan
artis-artis kesenian asli akan wujud dengan pesatnya. Manakala kegiatan
pertukangan kayu, ukiran, tenunan, lakaran dan lain-lain akan berkembang
menjadi satu perusahaan yang memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha desa.
Dari segi manfaat bukan berbentuk kewangan, industri pelancongan dapat membantu
masyarakat desa membina keupayaan dan meningkatkan kemahiran. Penglibatan dalam
pelbagai bidang seperti pemandu pelancong, pengusaha industri desa dan
penyediaan perkhidmatan pelancongan akan dapat meningkatkan kemahiran mengurus
projek, memantapkan bakat kepimpinan dan pengurusan kewangan yang lebih cekap.
Selain itu, pelancongan juga akan dapat membantu masyarakat desa mengekalkan
warisan budaya dan adat resam yang mereka warisi sejak dahulu lagi. Jika segala
warisan ini telah lenyap atau hanya boleh dirujuk melalui pembacaan buku-buku
sejarah, tidak ada makna lagi para pelancong mengunjungi sesebuah komuniti
kerajaan kerana yang mereka ingin lihat telah tidak ada lagi.
Kunjungan kerap para pelancong juga dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur
dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan di desa. Kerajaan tentu tidak
mahu imej negara tercalar disebabkan keadaan yang disediakan di tempat tumpuan
pelancong tidak berada pada tahap memuaskan. Hal ini secara tidak langsung
memberi kebaikan dari segi peningkatan keselesaan kehidupan masyarakat luar
bandar.
Seterusnya, pelancong juga dapat membantu menjamin alam sekitar serta flora dan
fauna di desa terpelihara. Siapa mahu ke Kuala Selangor lagi jika kunang-kunang
di sana pupus dek kerakusan manusia? Selain itu, penduduk desa akan dapat
meningkatkan taraf hidup mereka dengan menunjukkan industri herba yang sumber
semula jadinya diperoleh dari hutan yang berhampiran. Dari segi kesihatan pula,
penduduk desa akan lebih terjamin kesihatan mereka kerana kurang terdedah
kepada pencemaran alam sekitar akibat daripada diratah pembangunan.
Sememangnya industri pelancongan dapat menyumbang kepada peningkatan sosial
ekonomi penduduk desa , namun penduduk perlu memastikan apa yang ingin mereka
persembahkan kepada pelancong adalah suatu yang asli, bermoral dan selaras
dengan kehendak mereka.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‘”Pelancongan Desa”, Misi 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata pupus dek kerakusan manusia? [2 markah]
(ii) Bagaimanakah industri pelancongan dapat menambahkan pendapatan penduduk
desa ?[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah factor-faktor yang boleh menjejaskan industri
pelancongan di
sesebuah negara. [4markah]
Praktis 2
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang
tanggungjawab rakyat untuk mengisi kemerdekaan dan kesan jika masyarakat tidak
menghargai kemerdekaan negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120
patah perkataan.
Dalam merintis kegemilangan kejayaan negara, kita tidak seharusnya melupakan
terus sejarah awal kemerdekaan tanah air. Hanya dengan mengimbas kembali
sejarah, generasi muda akan mengerti betapa sukar dan payahnya pejuang
terdahulu mengharungi ranjau dan duri demi mengecap dan memelihara kemerdekaan.
Peringatan kemerdekaan negara pada setiap tahun sewajarnya memberikan makna dan
bukannya sekadar mengenang bahawa 50 tahun lalu Malaysia telah merdeka. Sebagai
anak bangsa, kita harus sedar bahawa tempoh 50 tahun merdeka bukanlah masa yang
singkat. Oleh sebab itu, salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari yang
diperkenalkan ialah rakyat yang berjiwa merdeka. Antara ciri jiwa merdeka
adalah dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu
melahirkan idea-idea baharu yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga,
masyarakat dan negara.
Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab untuk menyerlahkan
semangat patriotik dengan memelihara dan meneruskan kegemilangan usaha-usaha
yang telah dijayakan oleh generasi terdahulu. Negara Malaysia ini kecil bukan
saja dari segi saiz tetapi juga dari segi sumber yang ada termasuklah sumber
manusia. Oleh itu, untuk berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang
lain, negara perlu membangun dan memanfaatkan sumber manusia yang sedia ada di
negara ini sebaik mungkin.
Kesenangan hidup yang dinikmati oleh generasi muda dalam sesebuah negara yang
sudah merdeka tanpa melalui jerih penderitaan pada zaman penjajahan melekakan
mereka sehingga kurang menghayati erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi. Oleh
itu, erti kemerdekaan, rasa cinta akan negara dan pembentukan jati diri bangsa
perlu ditanamkan dalam diri semua orang sepanjang masa di semua peringkat.
Generasi muda juga perlu diberi kesedaran bahawa walaupun negara berada dalam
keadaan yang aman dan selamat, namun masih sentiasa terdedah kepada ancaman
musuh dari luar negara. Oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi
cabaran dan dugaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Sesungguhnya dengan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan 2007 ini diharapkan
dapat menyuntik semangat baharu kepada seluruh rakyat negara ini. Semua rakyat
harus insaf dan mengambil iktibar dengan penderitaan yang dialami dan dilalui
oleh ibu bapa dan datuk nenek pada zaman penjajahan asing. Kebebasan dan
kemerdekaan yang dinikmati selama ini hendaklah dipelihara dengan
bersungguh-sungguh. Semangat cinta akan negara yang kuat tertanam dalam hati
pejuang kemerdekaan wajar dicontohi oleh para remaja. Mudahan-mudahan menjelang
tahun 2057 kelak, iaitu ketika sambutan Hari Kemerdekaan ke-100, pewaris negara
akan terus menikmati sebuah negara yang berdaulat, maju dan terus berjaya.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana “Mensyukuri Dan Mengisi Kemerdekaan, Dewan
Siswa, Ogos 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata tanpa melalui jerih penderitaan pada zaman
penjajahan melekakan mereka ? [2 markah]
(ii) Nyatakan kebaikan masyarakat yang berjiwa merdeka ? [3 markah]
(iii) Berdasarkan pengalaman anda, nyatakan contoh kejayaan rakyat Malaysia
berpaksikan semangat “Malaysia Boleh”. [4 markah]
Praktis 3
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang
usaha-usaha memperkasakan bidang kokurikulum dan kekangan-kekangannya. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat sekaligus menjadi teras
bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan murid mencapai kecemerlangan yang
seimbang dalam kedua-dua bidang tersebut.
Selain bidang kurikulum, bidang kokurikulum juga sangat penting sebagai wadah
yang paling berkesan merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terutamanya
dalam konteks melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek.
Memandangkan bidang kokurikulum mempunyai pelbagai faedah kepada individu,
masyarakat dan Negara, perancangan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk
memperkasakan dan memantapkan pelaksanaan kokurikulum sekolah dalam sistem
pendidikan di Malaysia wajar mendapat sokongan daripada semua pihak.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperuntukkan RM 14.1 juta bagi
melaksanakan pelbagai program kokurikulum di lebih 10,000 buah sekolah rendah
dan menengah di seluruh negara. Mulai tahun 2007, peruntukan tambahan sebanyak
RM 420,000 turut disediakan untuk melatih guru dalam bidang berkenaan melalui
Program Latihan dalam Perkhidmatan. Selain itu, kerajaan juga telah
meningkatkan prasarana dan peralatan sukan di Pusat Sukan Daerah dan Negeri
serta memperluas dan meningkatkan aktiviti sukan di sekolah. Program Integrasi
Murid untuk Perpaduan (RIMUP) juga akan dipergiat lagi bagi menggalakkan
aktiviti sukan dan kokurikulum antara sekolah bagi memupuk perpaduan dalam
kalangan murid pelbagai kaum.
Selain itu, Kabinet juga telah bersetuju untuk melaksanakan kembali pendekatan
berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus
kokurikulum sebagai prasyarat untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi
awam (IPTA). Penilaian aktiviti kokurikulum ini berdasarkan kepada empat komponen
iaitu permainan dan sukan, kelab dan persatuan, pasukan unit beruniform dan
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Kegiatan kokurikulum juga perlu diperluas dari segi fungsinya bagi menyuntik
semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana minat
untuk mendalami bidang keusahawanan amat berkurang kerana hampir tiada usaha
untuk memupuk elemen tersebut dalam kegiatan kokurikulum. Oleh itu, seruan
Perdana Menteri supaya kegiatan koperasi dijadikan sebagai satu daripada
aktiviti kokurikulum di sekolah memang tepat pada masanya. Kementerian
Pelajaran Malaysia amat memandang serius saranan ini supaya lebih banyak
pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti yang turut menuntut semangat
tolong–menolong ini.
Hal ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan generasi yang
menguasai kemahiran berniaga bagi memastikan ekonomi negara dipacu oleh rakyat
negara ini sendiri serta mengurangkan kebergantungan terhadap kemahiran orang
asing.
Secara tuntasnya, kepentingan kegiatan kokurikulum memang tidak dapat dinafikan
lagi. Oleh itu, Kabinet telah meluluskan peruntukan tambahan bagi menampung
peningkatan kos pembiayaan aktiviti kokurikulum dan telah diagihkan secara
berperingkat-peringkat kepada sekolah. Peruntukan berkenaan membabitkan pecahan
RM 10 bagi setiap murid sekolah rendah manakala RM 12 bagi murid sekolah
menengah. Kita hendaklah menyambut baik hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia
untuk menjadikan sistem pendidikan negara tidak lagi berorientasikan
peperiksaan semata-mata sebaliknya turut memberikan penekanan kepada aktiviti
kokurikulum.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana“Memperkasakan Bidang Kokurikulum “,
Dewan Siswa, Julai 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata wadah yang paling berkesan merealisasikan ? 2
markah]
(ii) Mengapakah kerajaan menggalakkan murid-murid sekolah melibatkan diri
dengan koperasi? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kegiatan kokurikulum dapat melahirkan
murid cergas, berdisiplin dan bertanggungjawab ? [4 markah]
Praktis 4
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang
kesan-kesan pemanasan global dan peranan Malaysia untuk mengatasinya. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Terik panas matahari di negara ini tidak seperti dahulu. Panasnya bukan setakat
membahang tetapi lebih daripada itu. Akibatnya, kerap kali pada musim kemarau,
kerajaan terpaksa melakukan catuan air. Apabila negara ini mengalami hujan
pila, seringkali hujan turun dengan lebatnya berpanjangan dan disusuli dengan ribut
petir hingga mengakibatkan banjir dan bencana alam lain. Semua ini adalah
natijah yang diterima jika sindrom tidak mengambil berat terhadap alam sekitar
berterusan. Bumi, walaupun ‘membenarkan’ manusia melakukan apa-apa sahaja
terhadap ‘dirinya’ tidak pernah lupa meninggalkan kesan yang tidak dijangka
seperti pemanasana global.
Kesan pemanasan global telah menyebabkan berlakunya perubahan cuaca dunia di
luar jangka sehingga memeningkan kepala pakar-pakar kaji cuaca. Misalnya, benua
Eropah biasanya dikaitkan dengan cuaca sejuk manakala benua Afrika dikaitkan
dengan cuaca panas, tetapi senario tersebut berubah sekarang. Benua Afrika
dilaporkan menerima kehadiran salji pada tahun lalu dan pada masa yang sama di
Paris dan Perancis, 29 orang maut akibat panas melampau.
Pemanasan global bukan sahaja merosakkan harta benda tetapi juga nyawa manusia
selain mengundang pelbagai penyakit berbahaya. Contohnya, Afrika yang
diletakkan dalam keadaan paling berbahaya menyaksikan kira-kira 800 juta
rakyatnya diancam oleh keadaan cuaca yang tidak menentu, banjir, musim sejuk
serta kebuluran.
Laporan PBB juga menganggarkan sebanyak 25-40 peratus spesies flora dan fauna
di dunia kehilangan habitat akibat pemanasan global. Bukan itu sahaja,
pemanasan melampau telah mengakibatkan tumbesaran tanaman terganggu dan sekali
lagi manusia terpaksa menanggung kerugian.
Penyakit yang sering menyerang manusia disebabkan kesan pemanasan global ialah
katarak mata dan kanser kulit. Malah perubahan cuaca yang ekstrim kesan
daripada pemanasan global menyebabkan pertambahan kes penyakit yang berkaitan
dengan vektor seperti malaria dan denggi. Hal ini demikian kerana kitaran hidup
nyamuk dipengaruhi oleh faktor tersebut.
Bagi Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya, Profesor Khairul Mani
Osman Salleh, pemanasan global menyebabkan berlaku perubahan pada tabiat alam.
Kemusnahan hutan akibat pembangunan melampau menyebabkan flora yang menjadi
sumber oksigen dan perangkap karbon dioksida gagal melaksanakan peranannya. Gas
yang dikeluarkan menerusi aktiviti ini akhirnya memudaratkan manusia sendiri.
Kegiatan pembangunan tidak terkawal untuk tujuan komersial mempercepatkan
proses ini sehingga mengundang kejadian seperti tanah runtuh dan banjir lumpur.
Hakikatnya alam tidak mengenal sempadan. Begitu juga dengan bencana alam dan
malapetaka. Fenomena pemanasan global ini menuntut manusia mengubah cara hidup.
Manusia tidak seharusnya leka dengan keselesaan cara hidup sekarang. Sumbangan
yang dilakukan oleh manusia mampu melambatkan usia kemusnahan bumi.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Pemanasan Global , Berakhirnya Bumi?
“, Dewan Masyarakat, Julai 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata mampu melambatkan usia kemusnahan bumi?
[2markah]
(ii) Nyatakan kesan pembangunan yang melampau kepada alam. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah berlakunya pemanasan global di Malaysia ?
4 amarkah]
Praktis 5
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat rumusan tentang
saranan-saranan untuk memajukan ekopelancongan dan kekangan-kekangannya.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Ekopelancongan merupakan satu cabang aktiviti pelancongan yang semakin popular
dan seringkali dikaitkan dengan keindahan alam semula jadi. Walaupun alam
sekitar ialah pemacu utama ekopelancongan, namun aspek-aspek budaya dan
penyertaan penduduk setempat turut menjadi fokus utama bidang pelancongan.
Secara idealnya, ekopelancongan seharusnya mempunyai ciri-ciri pemulihan
kepelbagaian biologi dan budaya melalui kawalan ekosistem serta menggalakkan
penggunaan biodiversiti yang mampan. Selain itu, ekopelancongan juga mestilah
menekankan kepada ciri-ciri meminimumkan kesan-kesan alam sekitar akibat
aktiviti pelancongan. Hal ini termasuklah mengurangkan pembaziran dan
penghasilan sisa akibat gaya hidup dan pengurusan yang mewah dalam bidang ini.
Dari segi sejarahnya, konsep ekopelancongan ini bermula pada lewat tahun 80-an
dan semakin meningkat popularitinya pada tahun 2002 apabila Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tahun tersebut sebagai Tahun
Ekopelancongan Antarabangsa. Bagi Malaysia, konsep ekopelacongan ini masih
dianggap baru. Walau bagaimanapun konsep ini dianggap sesuai digunakan di
negara ini kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Promosi ekopelancongan untuk menarik pelancong dan seterusnya meningkatkan
pendapatan negara memang wajar dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Dalam masa
yang sama, kerajaan Malaysia sendiri telah memperkenalkan Program Industri Desa
yang secara khususnya untuk meningkatkan penyertaan penduduk luar bandar dalam
kegiatan ekopelancongan. Usaha ini telah memberikan peluang pekerjaan dan
peningkatan pendapatan sampingan penduduk luar bandar.
Sensitiviti masyarakat terhadap kesan pelancongan semula jadi sangat penting
kerana sesetengah tempat pelancongan itu sangat sensitif kepada aktiviti
manusia. Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan untuk memelihara kawasan
tersebut daripada sebarang kesan aktiviti pelancongan, namun kadangkala usaha
ini gagal kerana kesan tersebut terlalu ‘rapuh’ dan mudah terjejas dengan
aktiviti manusia.
Dalam masa yang sama juga, kebanyakan pelancong yang datang sangat memberikan
perhatian kepada usaha kerajaan untuk menjaga alam sekitar. Hal ini demikian
kerana mereka datang untuk mempelajari atau mengetahui budaya dan keindahan
alam semula jadi di sesebuah tempat. Oleh itu, mereka amat menghargai jika
pemilik hotel, pengangkutan dan sebagainya memberikan perhatian kepada
penjagaan alam sekitar. Jika berpuas hati, hal ini pasti menjadi ingatan dan
akan diceritakan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Tuntasnya, sebagai sebuah negara yang kaya dengan alam semula jadi,
ekopelancongan yang cuba dicapai boleh berjaya jika semua pihak berusaha
mencapainya. Jika tidak, usaha ini akan menjadi sia-sia dan akhirnya akan
menjadi mangsa kepada aktiviti atau industri pelancongan itu sendiri.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana “Ekopelancongan dan Masa Depannya “,
Dewan Siswa, Julai 2007)
(i) Apakah maksud rangkai kata sensitiviti masyarakat ? 2 markah]
(ii) Nyatakan kebaikan ekopelancongan kepada masyarakat dan negara. 3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah untuk menjadikan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan utama dunia? [4 markah]