Sunday, October 16, 2011

8:29 AM - No comments

FOKUS KARANGAN SPM 2010


 Peranan Ibu Bapa Galakkan Anak Aktif dalam Bidang Sukan

Malaysia ketandusan atlet yang berbakat dalam bidang sukan. Semua pihak termasuk keluarga berperanan penting dalam mencungkil bakat anak-anak mereka sejak kecil lagi. Huraikan peranan ibu bapa untuk menggilap bakat anak-anak dalam bidang sukan.
( Terengganu)

Soalan contoh

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak bergiat dalam bidang sukan.Huraikan pendapat anda.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- antara bidang yang penting di negara kita - aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah

Isi-isi
i. memberikan galakan dengan cara membeli peralatan sukan
ii. menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif
iii. memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan
iv. membelikan anak-anak majalah sukan

Penutup
- peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan – ibu bapa perlu memainkan peranan yang sepatutnya

Karangan Contoh
       Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan tercapai iaitu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.

       Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan cara membeli peralatan sukan untuk anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara.

       Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

       Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

       Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.

       Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.

0 comments:

Post a Comment