8:50 AM -
PENULISAN
No comments
PIDATO
Anda akan menyertai
pertandingan pidato yang akan dijalankan di peringkat daerah. Pidato tersebut
bertajuk “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera.”
Sediakan teks pidato itu.
Isi-isi Penting
• kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi
• kemajuan sains dan teknologi ideologi bervisi.
• semangat patriotisme penangkis neoimperialisme
• Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.
Salam apresiasi buat yang dihormati saudari
pengerusi majlis, panel hakim yang sentiasa berpegang pada prinsip keadilan,
guru-guru dan rakan pelajar yang dikasihi.
Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah
berkata, “bukannya perkara kecil bagi kita untuk meneruskan perjuangan
kemerdekaan negara kerana rupa-rupanya selain memerdekakan negara, mengisi
kemerdekaan itu jauh lebih sengsara”. Hal ini demikian kerana, kemerdekaan
negara yang dicipta itu memelihara kesejahteraan masyarakat sejagat. Oleh itu,
saya tampil di hadapan anda semua bagi menyampaikan sebuah pidato yang
bermauduk “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera”.
Sebagai implikasi awalan, kemerdekaan
negara telah menjadi bukti pada cermin perjuangan bangsa Malaysia yang cinta
akan negara yang menjadi tanah tumpah darah
kita semua. Namun demikian, Malaysia pernah dituduh, kononnya tidak demokratik,
diktator dan mengamalkan pemerintahan kuku besi
oleh bangsa Eropah kerana tidak melakukan pertukaran kepimpinan seperti mereka.
Tegasnya, kini negara kita ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Dengan kata lain, negara merdeka bermaksud negara yang bebas iaitu negara kita
tidak lagi dikuasai atau dijajah oleh kuasa lain dan bebas dalam menentukan
hala tujunya sendiri. Kemerdekaan yang dimaksudkan juga bebas daripada segala
sudut, termasuklah bebas minda dan budaya daripada sebarang pengaruh asing.
Rakyat negara kita yang merdeka pula mencatat kejayaan besar dalam pelbagai
bidang dengan cemerlang di persada dunia. Hal ini sudah tentu akan mewujudkan
masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, untuk mengupas segala
persoalan, empat perspektif utama akan saya utarakan bagi mengungkap
kemerdekaan negara demi kesejahteraan rakyatnya.
Saudara dan saudari,
Indikator saya yang pertama, kemajuan
pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Untuk mencapai taraf negara maju pada
tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan pelbagai program pembangunan. Lihatlah,
kewujudan kilang perindustrian bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan setelah kerajaan yang ditubuhkan selepas
kemerdekaan kini lebih berwawasan dalam menentukan kesinambungan kedua-duanya.
Sebagai contohnya, Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 99 tingkat dan
Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter. Kedua-duanya ini memberikan impak yang
besar kepada imej negara yang menjadikannya sebagai identiti negara. Antara
sedar atau tidak, kita sebenarnya mengukuhkan ekonomi negara ini lagi melalui
pelbagai sudut. Secara tidak langsung, pembangunan yang dibina ini mampu
meluaskan peluang pekerjaan, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup
penduduk, dan hal ini sudah tentu memberikan kesejahteraan kepada masyarakat.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua, kemajuan
sains dan teknologi, ideologi bervisi. Perkembangan dan kemantapan teknologi
sains semakin memberi impak dari hari ke hari kepada rakyat malahan membuka
mata seluruh dunia. Kebebasan negara dalam melahirkan pelbagai idea baru dan
menghasilkan pelbagai produk, kesan gabungan pengaplikasian kedua-duanya telah
membuka peluang pasaran yang besar. Sebagai contohnya, daripada kajian
terbaharu, rupa-rupanya pokok vanilla yang tidak terdapat di negara kita juga
telah ditanam dan hidup dengan subur di negara kita. Kesimpulannya, rakyat
boleh menikmati kelebihan ini seperti buah-buahan tempatan kita juga. Tambahan
pula, kita bukan lagi seperti pungguk rindukan
bulan dan tidak lagi bermimpi di siang
hari kerana gapaian jauh melepasi awan sudah dibuktikan menjadi
kenyataan. Perkara ini dibuktikan dengan kelahiran anak merdeka yang bergelar
angkasawan negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang berjaya dalam misi
negara dengan membolehkan negara kita duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara Russia dan Amerika
Syarikat yang memang terkenal dalam bidang sains angkasa. Peristiwa besar
seperti ini ialah catatan terbaik untuk dimuatkan sebagai kejayaan negara yang
kini lebih diiktiraf dan dipandang tinggi oleh dunia. Dengan perkataan lain,
sebagai sebuah negara yang merdeka, kita sebenarnya telah berjaya melahirkan
masyarakat yang sejahtera.
Saudara dan saudari,
Indikator saya yang ketiga, semangat
patriotisme penangkis neoimperialisme. Hal ini demikian kerana, semangat yang
kita padukan dan satukan ialah semangat cinta akan kemakmuran, jika tidak,
masakan kita bisa bertahan ketika dirobek keamanan, dicemuh kesucian, dan
dimaki dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar betapa pentingnya semangat
perjuangan dan tuntutan kemerdekaan dan sekali gus meletakkan suatu
tanggungjawab di pundak anak bangsa yang bakal mewarisi negara. Sebagai
contohnya, sewaktu kegawatan ekonomi melanda seluruh dunia pada tahun 1997,
negara kita berjaya mengharunginya dengan semangat patriotisme yang tinggi dan
perpaduan yang jitu dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara kita tanpa
mengira kaum dan bangsa. Mahatma Gandhi pernah berkata, ”Majunya sesebuah
negara kerana asas jati diri bangsanya”. Maka pada hari ini kita harus sedar,
kurniaan kemerdekaan bukan sekadar kibaran jalur gemilang, dan bukan juga
dendangan lagu kebangsaan kerana kalau roboh kota
Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, iaitu apabila musuh datang
melanda kita, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya bagi kesejahteraan
masyarakat semua.
Para hadirin yang dihormati,
Indikator saya yang terakhir, Rukun
Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat. Walaupun pada 31 Ogos 1970, ada
sesetengah pihak yang menyifatkan Rukun Negara sebagai doktrin ketahanan
nasional. Sebenarnya, Rukun Negara digubal melalui pelbagai dasar strategi
sosioekonomi dan ketatanegaraan yang lebih komprehensif serta berkesan. Sebagai
contohnya, akhbar Utusan Melayu 16 Julai 1965 menyatakan penentangan adalah
terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, agama Islam
sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dengan
perkataan lain, kewujudan Rukun Negara mampu mendepani zaman universal,
holistik dan realistik kerana bisa menghakis seluruh prasangka kaum yang
mungkin wujud di negara ini sebelum dan sesudah peristiwa 13 Mei 1969 yang
begitu banyak memberikan pengajaran untuk kesejahteraan. Oleh hal yang
demikian, saya menyarankan rakyat negara ini, biarlah gunung sama didaki, lurah sama dituruni, dan hati gajah sama
dilapah, hati nyamuk sama dicecah”. Marilah kita bersama-sama meniti hari-hari yang
mendatang dengan mengukuhkan semangat patriotisme dan mengekalkan kemerdekaan
negara yang tercinta bagi memastikan masyarakat hidup aman dan sejahtera.
Cukuplah setakat ini sahaja pidato saya
kali ini, dan saya ingin memohon kemaafan sekiranya tersilap kata dan tersalah
susun bicara semasa saya menyampaikan pidato tadi.
Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh.
DAPATAN: http://khirkassim.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment