Thursday, October 13, 2011

KEMBARA AMIRA PENUH


SINOPSIS

Novel ini mengisahkan pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan.  Amira telah mengajak kawannya Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan ibunya. Prof. Zaidah sedang menjalankan kerja lapangan bersama pelajar tahun akhir.   Di hutan tersebut Amira telah berkenalan dengan Itai iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai.  Amira juga telah berkenalan dengan Malique.
 Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut.  Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui tentang lubuk emas itu, kawasan mereka akan diterokai.
Salah seorang pekerja baru O’Hara hilang, Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang mereka naiki terbenam dalam lumpur dan akhirnya kenderaan tersebut tergelincir ke dalam gaung. 
 Dalam masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya adalah kawasan petempatan awal manusia.  Seterusnya Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah.  Hasilnya mereka menemui kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua.  Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique.  Amira mengagak bahawa mungkin Malique berada berhampiran kawasan tersebut.
 Amira nekad mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia.  Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu.  Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau adalah adalah bapa kandung kepada Malique (Sabi).  Kemudian, Ludin menggemparkan lagi suasana apabila turut menjelaskan bahawa Itai adalah adik Malique. 
Akhirnya Amira telah melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa.  Jacinta pula melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Paris.  Itai melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Malique menetap di Bukit Mat Raya untuk membangunkan projek ITnya


Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Amira
Amira ialah seorang pelajar dan berkawan baik dengan Jacinta. Ibunya ialah Profesor Zaidah, iaitu pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Semasa cuti sekolah yang panjang, Amira dan Jacinta pergi ke kawasan emaknya yang sedang menjalankan kerja lapangan iaitu mencari gali artifak di Desa Karpus. Dia seorang anak tunggal yang berani dan tabah menghadapi rintangan dan dugaan. Sebagai contohnya, dia berani untuk pergi ke gua Gajah untuk menggerakkan usaha menyelamatkan Malique yang hilang. Amira tabah menghadapi dugaan walaupun mengalami peristiwa pahit iaitu dia hampir mati lemas akbiat tergelincir dan dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Amira juga suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Amira menggerakkan usaha untuk menolong Malique dengan mendapatkan bantuan daripada Itai untuk mengesannya. Selain itu, dia bersahabat baik dengan Jacinta yang berketurunan Tionghua.

Amira menghormati orang yang lebih tua daripadanya terutamanya ibunya, Pak Lias dan Dr. Zawawi. Sebagai contohnya, dia mengucapkan salam kepada ibunya pada suatu pagi selepas Jacinta ditemui dalam keadaan pengsan. Selain itu, dia merupakan seorang pelajar yang pintar untuk membuat keputusan. Sebagai contohnya, Amira diminta oleh ibunya untuk membuat keputusan tentang Tau dengan Malique dan Ipah. Dia kuat semangat ketika cuba melawan arus dan tangannya cuba memeluk batu-batu yang terdapat di sepanjang sungai tetapi gagal kerana batu-batu itu licin. Amira seorang yang prihatin, contohnya dia prihatin akan Jacinta yang baru sedar daripada pengsan dengan menyuapkan kawannya sup.

Walau bagaimanapun, dia seorang yang nakal, contohnya kadang-kadang dia berbuat sesuatu tindakan yang tidak dijangka oleh ibu dan ayahnya. Namun begitu, dia seorang anak yang baik, contohnya dia tidak cerewet dan tidak pernah merungut dalam sebarang hal. Selain itu, Amira juga seorang yang penyayang, buktinya dia memicit bahu ibunya yang cedera perlahan-lahan dengan penuh kasih sayang. Amira taat akan agama iaitu dia dengan segera mengqada solat Subuh yang tidak dapat ditunaikan semasa di dalam kereta api. Amira seorang yang bertanggungjawab, contohnya dia rasa bersalah dan tidak berhenti menangis kerana dia yang menyebabkan Jacinta hilang. Dia cuma berhenti menangis apabila Jacinta berjaya ditemui oleh Tau.

Watak Sampingan

Jacinta
Jacinta ialah seorang pelajar yang berbangsa Cina yang berkulit putih dan gebu serta menjadi kawan baik Amira. Ibunya sudah meninggal dunia, dan ayahnya sekarang berkahwin dengan seorang perempuan lain. Dia tidak suka akan ibu tiri yang baru dikahwini oleh ayahnya itu. Dia mengikut Amira pergi ke tapak kerja lapangan atau tapak cari gali artifak tinggalan manusia pada zaman silam yang sedang dijalankan oleh ibu Amira dengan pelajar-pelajarnya tahun akhirnya. Dia telah beberapa kali mengikut Amira dalam melakukan kerja-kerja dalam bidang arkeologi. Jacinta diselamatkan dan diusung oleh Tau ke Desa Karpus. Dia dalam keadaan pengsan ketika dijumpai oleh Tau di celah banir pokok balak yang besar. Jacinta menyukai Dr. Zawawi iaitu pensyarah muda dan pembantu Profesor Zaidah.

Jacinta seorang yang tabah tetapi sentiasa tidak sabar, dan dia cepat merajuk apabila keluarganya menjadi topik perbualan. Dia suka menolong orang, contohnya dia bersama-sama dengan Amira, Itai, Pak Lias, Roslan, dan beberapa orang lagi dalam gerakan mencari Malique yang hilang. Dia sanggup membahayakan dirinya sendiri dalam usaha untuk menolong Amira yang dihanyutkan oleh air sungai yang deras.

Jacinta seorang yang bijak berkata-kata dan pandai berhujah, contohnya dia berhujah dengan O’Hara semasa mereka mencari Malique. Dia mengambil berat akan kebajikan rakannya, contohnya dia membawakan Amira makanan ke khemahnya pada suatu malam. Jacinta juga tidak pernah menyinggung perasaan sahabatnya, Amira walaupun mereka berlainan agama.

Itai
Itai ialah anak Tau tetapi menjadi anak angkat kepada Ludin yang berketurunan suku Orang Asli Semai yang tinggal di kampung di sebelah anak bukit. Sebenarnya Itai ialah adik Malique dan emak mereka ialah Ipah atau Jennifer. Dia seorang anak muda yang hebat, pintar, berani dan memiliki keistimewaan seperti boleh mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin. Itai berkemahiran untuk menangkap ikan dengan tangan iaitu tanpa menggunakan alat menangkap ikan. Itai akan dilantik sebagai ketua kampung yang memahami alam di hutan itu, iaitu menggantikan ayah angkatnya Ludin yang sedang memegang jawatan ketua kampung itu. Itai juga merupakan pelajar yang pintar dan menjadi harapan sekolahnya. Itai berkawan dengan Amira dan Jacinta selepas peristiwa dia menyelamatkan Amira daripada mati lemas.

Itai suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Itai membantu Amira untuk mencari Malique yang hilang. Itai menghormati orang yang lebih tua daripadanya, contohnya dia menghormati Ludin dan Tau dan tidak membantah cakap mereka. Itai seorang yang murah hati, iaitu dia dan Amira sanggup meredah hutan untuk mengambil ketulan emas di sungai untuk dihadiahkan kepada Jacinta. Dia seperti hilang semangat selepas terlihat makhluk yang berbulu ketika bersama-sama dengan Amira di dalam hutan dan seterusnya dia disergah oleh Tau pada masa itu.

Profesor Zaidah
Beliau seorang profesor dan pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Beliau kuat bekerja, contohnya Amira mengatakan memang tabiat ibunya suka memulakan kerja sejak awal pagi iaitu ketika orang lain masih tidur. Amira juga hairan dengan ibunya yang memiliki tenaga yang kuat untuk bekerja. Beliau merupakan ibu yang penyayang, contohnya walaupun sibuk dia masih ada masa untuk Amira, lebih-lebih lagi dia sedar akan kesalahannya yang mementingkan kerjanya selepas Amira . Beliau seorang yang penyabar, contohnya dia masih bersabar dan tidak memarahi Amira kerana kesilapannya yang menyebabkan Jacinta cedera.

Profesor Zaidah seorang ketua yang prihatin, contohnya dia mengambil berat kebajikan keluarga Pak Lias dan bertanyakan perbelanjaan keluarganya sebelum dia meninggalkan mereka untuk bekerja di Bukit Mat Raya. Beliau pakar dalam bidang arkeologi, contohnya dia mengatakan bahawa setiap lapisan tanah yang berlainan warna mewakili satu tempoh masa yang kita sendiri tidak pasti, mungkin ratusan atau ribuan tahun. Beliau berpengalaman selama lebih kurang dua puluh lima tahun dalam bidang itu.

Amira Amir
Remaja perempuan yang bijak, peramah, lasak, penyayang, nekad, tegas dan pandai memujuk. Amira sangat memahami kesibukan ibunya (Profesor Zaidah) dan bapanya (Amir, yang selalu ke luar negara). Amira ialah pembantu ibunya dalam mengemas kini laman sesawang maklumat arkeologi.

Jacintha (JC)
Teman akrab Amira, anak tunggal seorang jutawan yang berkahwin semula setelah kematian ibu JC. Perwatakan JC digambarkan sebagai sensitif (mudah tersentuh) dan sedikit penakut (manja), tetapi lasak, setia kawan, peramah, berterus terang dan pemaaf.


Profesor Zaidah
Penyelidik arkeologi terkemuka yang kerap membentangkan dapatan di serata dunia. Digambarkan sebagai kuat bekerja, prihatin, berdedikasi, lemah lembut, tetapi sesekali tegas. Daya kepimpinannya teruji apabila perlu memuktamadkan sesuatu keputusan yang penting, misalnya ketika Dr. Zawawi menyarankan supaya projek arkeologi mereka ditunda ekoran beberapa peristiwa kemalangan yang menimpa Amira, JC dan Profesor Zaidah sendiri.


Dr Zawawi
Doktor perubatan yang bertindak sebagai orang kanan Profesor Zaidah dalam projek penyelidikan arkeologi. Dr. Zawawi prihatin (tentang keselamatan), kelakar, bijak (mententeramkan keadaan), setia dan beretika.


Pak Lias
Pemandu pacuan empat roda projek arkeologi. Pak Lias cekap (memandu dan bersilat), prihatin, berterus terang, penyayang dan berhati-hati. Pak Lias bertanggungjawab menumpaskan makhluk misteri dengan pencak silat gerak songsang yang pernah dipelajari daripada Kiai Rashid.


Rusdi
Ketua kepada pelajar yang menyertai projek penyelidikan arkeologi. Rusdi berfikiran positif, tidak mudak mengalah, jujur dan amanah.

Tau
Usianya menginjak separuh abad, tetapi tangkas, bijak dan cekap (dengan selok-belok rimba), penyayang, pendendam,misteri dan kuat berahsia. Tau menggantikan Ludin, abangnya mengahwini Ipah dan memperoleh dua orang cahaya mata (Sabi @ Malique - dilarikan Ipah; dan Tau - diserahkan kepada Ludin). Apa kaitan Tau dengan makhluk misteri separuh beruang? (jawapannya... baca dulu sendiri!)


Itai
Remaja orang Asli yang pintar hingga pernah mewakili negeri dlam pameran saintis muda, serta menggondol tempat kedua. Projek perubatan herbanya menewaskan kumpulan Amira dan JC (sebelum berkenalan di rimba dengan penampilan yang jauh berbeza). Dilatih oleh Tau untuk mengambil alih jawatan ketua kampung daripada Ludin.


Ludin
Ketua kampung orang Asli. Mahir dalam rawatan herba, termasuk merawat tangan kiri Profesor Zaidah yang cedera akibat kemalangan pacuan empat roda yang terjunam ke sungai. Ludin penyayang, tetapi juga perahsia dan tegas. Kontras dengan adiknya Tau, Ludin lebih lembut dan teliti dalam segala tindakan.


Ipah @ Jeniffer @ Samantha
Anak kepada Ridley, pensyarah universiti di Australia dan Brenda yang terbunuh di lokasi Desa Karpus. Berkahwin dengan Tau setelah perawan, tetapi disisihkan oleh masyarakat orang Asli kerana Ipah dianggap sebagai perempuan sihir yang jelik. Kemudian, Ipah lari dengan Johnny membawa Sabi sekali, tetapi meninggalkan Itai.


Malique @ Sabi
Patuh kepada arahan ibunya supaya menyertai John O'Hara memasuki hutan Gunung Mat Raya. Dia menyangka Amira terpikat dengannya. Malique berasa sangat rapat dengan hutan berkenaan.

John O'Hara
Seorang pengesan emas. prospector berpengalaman dari Australia. O'Hara amanah, kuat bekerja, tetapi kadang-kadang panas baran.

Roslan 
Pemandu pacuan empat roda O'Hara. Roslan, bekas pemandu lori balak yang sangat berpengalaman melepasi laluan curam dan licin. Roslan penyayang (tidak sanggup berjauhan dengan ibunya). Roslan suka menolong.

Ah Chin
ketua pekerja O'Hara. Ah Chin sangat tegas mengawal pekerja yang berkelakuan kasar dan suka mengambil kesempatan ketika ketiadaannya.

0 comments:

Post a Comment